Monday 3 February 2014

~ AYAH ~

:: Tenanglah Dikau Di Sana ::

Sungguh indah hidup mendapat kasih sayang Ibu dan Ayah.
Merekalah yang akan mewarnai kehidupan kita dari kecil hingga dewasa. Tetapi, kehidupanku tidak sebahagia insan yang bergelar anak dan kebanyakan ruangan hidupku aku warnai sendiri dengan warna-warna disekelilingku.

Ayah,
Aku amat merinduimu..

Ingat lagi masa kecilku, aku pergi sekolah hanya dengan berjalan kaki bersama abangku membawa beg yang berat. Usai sahaja kelas, kami balik berjalan kaki. Kebanyakan kawanku mereka di ambil oleh ayah atau ibu mereka . Aku amat cemburu. Cemburu sekali~

Sehingga aku meningkat ke alam belasan tahun, aku bersekolah di salah sebuah sekolah di bandar. Aku terpaksa menaiki bas seawal 5.30 pagi setiap hari. Keperitan dan segala masalah kebanyakan aku hadapi sendiri. Aku menunggu bas di luar sekolah bersama kawan-kawanku. Seorang demi seorang kawanku meninggalkanku apabila ayah atau ibunya datang menjemput. Tapi aku masih lagi menunggu bas seorang diri.

1 jam berlalu...2 jam berlalu...3 jam berlalu.. Bas tidak muncul tiba. Terdetik di hatiku, kawan-kawanku mesti sudah usai mandi, makan dan bersama keluarga. Kemudian,aku mengorak langkah menuju ke stesen bas memakan masa 10-15 minit. Meneruskan penungguan hingga malam menjelma barulah bas datang.

Perkara ini berlaku hampir setiap hari. Kadang-kadang aku tidak mampu bersabar. Aku hanya insan biasa dan mempunyai jiwa yang lemah. Sambil menunggu ketibaan bas, kelopak mataku dibanjiri air masin. Air laut mungkin! dan entah dari mana datangnya. 

Pernah beberapa kali, aku ditinggalkan bas, bas mati di tengah jalan, bas tiada kerana rosak. Aku tidak tahu bagaimana nak balik. Nak berjalan balik mungkin 3-4 jam. Kawanku yang lain menunggu sekali, bila perkara ini berlaku, mereka hanya perlu "call" ibu dan ayah dan mereka akan datang menjemput.

Ayah,

Sekali lagi mataku dimasuki habuk. Jiwaku sebak. Siapa mahuku "call". Di rumahku tiada orang. Hanya ada nenek dan nenekku mungkin tengah risau. Aku tidak mahu menyusahkan dan membuat jiwa nenek ku tidak tenteram. mahu "call" ibu, dia berada di negeri yang lain. Aku terdiam kaki seribu bahasa. Tiba-tiba datang sebuah bas, bas Rantau Panjang jalan Highway. Aku terus berlari dan mengejar lalu menaikinya.

Walaupun aku tahu, aku perlu berhenti di tepi jalan dan berjalan selama 30 minit lebih mungkin. Hatiku sudah cukup tenang. Sampi di Lubok Jong, aku berhenti dan berjalan kaki menuju kerumah. Hampir Maghrib pada waktu tu. Aku menguatkan diri untuk berjalan walaupun aku sangat penat. Sekali lagi terdetik "Kalaulah ayahku masih ada,boleh lah dia datang menjemputku". Alangkah bahagianya. 

Sepanjang perjalanan menuju ke rumah, ramai yang menegurku. "Baru balik?; kenapa jalan kaki?" Aku hanya tersenyum dan meneruskan perjalanan. Sampai di rumah, nenekku terus menerpaku dan bertanya. Aku menceritakan dengan penuh ketabahan seperti biasa. lalu aku masuk bilik dan berbaring. Asyik banjir je kelopak mataku.

Ayah,

Mungkin kehidupanku lebih baik jika engkau ada. Hampir setiap hari aku berada dalam kepenatan. Dari pagi hingga ke petang. Perkara yang sama aku alami setiap hari. Sampai kering sudah air mata. Aku tiada tempat untuk mengadu. kepada ayah mahupun ibu. Aku selalu menginginkan untuk berjumpa denganmu di dalam mimpi. Tapi hingga umurku meningkat 20 an engkau tidak pernah muncul dalam mimpiku.

Ayahku sayang,

Gambarmu aku tiada. Wajahmu tidak sempatku lihat. Perangaimu tidak pernahku tahu. Sentuhanmu tidak pernah aku merasa,pelukanmu jauh sekali. Aku tiada satu kenangan pun bersamamu. Sebelum aku lahir engkau telahpun meninggalkan aku. Aku cemburu melihat orang lain berkasih sayang dengan seorang ayah. Banyak perkara aku lalui seorang diri. Sehinggakan aku menjadi seorang yang sangat memendam. 

_________________________________________________________________________________
Ayah, akanku cuba menjaga keluarga yang ada dengan sebaik mungkin. Akan ku korbankan
 segala-galanya demi mereka. Aku akan menjadi anak yang soleh dan berjasa. Aku akan
 membahagiakan hidup mereka. Semoga aku menjadi kuat hari demi hari~ I Love Yo Dad. 

~Al- Fatihah~ T_T
_________________________________________________________________________________

No comments:

Post a Comment